Khamis, 27 Ogos 2009

H1N1: Tiada kematian baru, seramai 259 pesakit positif


KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat jangkitan Influenza A(H1N1) didaftarkan hari ini dengan jumlah kematian kekal 71 kes, manakala pesakit yang disahkan positif dijangkiti wabak itu ialah 259 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada 259 kes itu, 53 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 41 kes mempunyai faktor risiko seperti penyakit kronik, obesiti, kanak-kanak atau bayi, bersalin dan hamil dan sindrom down.

Beliau berkata sejumlah 260 pesakit baru dengan gejala serupa influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 312
keluar hospital, menjadikan baki seramai 1,394 pesakit ILI dirawat di 94
hospital termasuk lima hospital swasta di seluruh negara.

"Langkah paling bijak bagi mereka yang mempunyai gejala ILI adalah berehat
di rumah dan sekiranya terpaksa mengunjungi tempat awam mereka hendaklah memakai mask (penutup mulut dan hidung) sepanjang masa," katanya dalam kenyataan media mengenai situasi semasa wabak H1N1 di negara ini.

Beliau juga meminta orang ramai mengambil maklum berkaitan perbezaan antara
gejala selesema biasa dengan jangkitan influenza.

"Antara perbezaan ketara ialah apabila dijangkiti influenza, kebiasaannya
individu akan mengalami demam yang tinggi (suhu melebihi 38 darjah celcius)
sehingga tiga ke empat hari, sakit kepala, sakit tekak, kerap letih, sakit badan yang teruk, letih lesu dan batuk tanpa kahak di peringkat awal.

"Manakala selesema biasa pula jarang mengalami demam atau demam ringan (suhu kurang daripada 38 darjah celcius), hidung berair dan kerap bersin," katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan