Jumaat, 20 Ogos 2010

Larangan siswa berpolitik tindakan hipokrit, munafik - Guan Eng...

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat perumpamaan larangan kepada mahasiswa dan pensyarah berpolitik tetapi membenarkan guru seperti dalam situasi peperangan di mana para jeneral dilarang sebaliknya hanya korperal dibenarkan.

"Ini macam dalam satu peperangan apabila jeneral dilarang tetapi korperal pula dibenarkan, ia tidak masuk akal kerana hal ini melibatkan masa depan negara," ujar Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.

Keputusan tersebut disifatkannya sebagai munafik kerana ia termasuk dalam empat ciri golongan tersebut.

"Ini bukan sahaja hipokrit tetapi munafik kerana ia menepati semua ciri munafik yang ditetapkan," tegasnya.

Turut membidas larangan tersebut, Setiausaha Agung KeADILan, Saifudin Nasution yang menganggap keputusan kerajaan melarang mahasiswa dan pensyarah berpolitik dan membenarkan guru melakukannya sebagai tidak konsisten, paradoks atau bercanggah dan celaru.

"Keputusan kabinet akan mewujudkan jurang lebih besar kepada politik negara dan perkara ini akan memberikan kesan negatif pada jangka panjang.

"Saya katakan ianya paradoks kerana ia bercanggah dengan larangan itu dan pastinya sekadar menunjukkan Umno telah hilang sokongan golongan guru," katanya.

Membidas kenyataan sesetengah pemimpin Umno yang mendakwa penglibatan dengan politik menjejaskan tumpuan kepada akademik Saifudin menegaskan ramai pemimpin negara sekarang ini merupakan pemimpin mahasiswa suatu masa dahulu.

"Kita telah buktikan ramai pemimpin mahasiswa sebelum ini yang aktif dengan politik kampus kini berjaya ditempatkan di posisi dalam kabinet kerajaan dan memegang jawatan sebagai pemimpin masyarakat, kita tetap cemerlang.

"Sebahagian besar kabinet kerajaan adalah dahulunya pemimpin pelajar, iaitu Dato' Shabery Cheek, Dato' Saifudin Abdullah, Dato' Mohd Puad Zarkasyi, Dato' Razali Ibrahim, manakala dari Pakatan Rakyat terdiri daripada Dato' Lee Boon Chye, Dr Hatta Ramli dan ramai lagi," ujarnya.

Tambahnya, larangan terhadap mahasiswa ini menunjukkan kerajaan sengaja merendah-rendahkan keupayaan mahasiswa dan menafikan hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan.


Sementara itu Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menempelak tindakan kerajaan yang melarang golongan mahasiswa dan pensyarah berpolitik sebaliknya hanya memberi kebenaran kepada golongan guru siswazah.

"Saya yakin larangan kepada golongan cerdik pandai seperti mahasiswa dan pensyarah itu adalah menggambarkan rasa kurang yakin kerajaan terhadap sokongan mereka yang mungkin tidak berpihak kepada kerajaan atau Umno-BN," katanya kepada Harakah.

Beliau yang juga Pengerusi Protes berpandangan larangan tersebut bersifat suatu arahan yang sudah lapuk dan menunjukkan kerajaan masih takut kepada bayang-bayang sendiri.

"Kalau di luar negara mereka dibenarkan untuk terlibat dengan politik sebaliknya mereka yang di dalam negara dihalang daripada berbuat begitu.

"Sedangkan inilah medan untuk kita latih mahasiswa ini untuk menjadi pemimpin," ujarnya.

Hatta yang juga merupakan bekas anggota Exco Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia melahirkan rasa kecewa dan berharap agar kabinet dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

"Penglibatan mereka dalam politik ini bukan secara sepenuh masa seperti mana ahli politik sebaliknya terdapat garis panduan tertentu yang memberi mereka peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya lagi.

Pandangan tersebut disokong Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad yang menyatakan keputusan yang dibuat kerajaan berdasarkan anggapan ia tidak memberi keuntungan kepada Umno-BN.

"Mereka tidak benarkan sebab merasakan ianya tidak menguntungkan Umno dan mereka tahu golongan cerdik pandai ini tidak akan memilih Umno terutamanya mereka yang belajar bidang agama," ujarnya.

Beliau yang juga bekas Presiden Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia menepis dakwaan penglibatan dengan aktiviti yang bersifat politik ini boleh menjejaskan kecemerlangan akademik.

"Keaktifan kita tidak mengganggu tumpuan dalam akademik dan perkara ini telah berjaya dibuktikan sejak dahulu lagi malah ia membentuk pemikiran kritis untuk menilai sesuatu," katanya.

tegasnya golongan terpelajar ini adalah aset baik dan pasti mereka mampu membuat keputusan dengan bijak dalam memilih kecenderungan politik masing-masing.

"Terpulang kepada mereka hendak pilih parti politik mana tetapi yang rugi akibat keputusan melarang melibatkan diri dengan politik adalah kerajaan kerana tidak dapat mengenalpasti identiti sebenar golongan ini," ujarnya.

Senario yang berbeza bagi pelajar di luar negara mengalami sedikit kelonggaran untuk melibatkan diri dengan politik apabila dapat menubuhkan kelab kepada parti politik sedia ada di negara tersebut.

Menurut Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Al-Hiss pelajar di United Kingdom dibenarkan untuk melibatkan diri dengan politik dengan had yang tertentu.

"Malah di sini kita ada kelab Parti Konservatif dan sebagainya yang membenarkan kita berbincang pelbagai isu meliputi agama, sosial, ekonomi dan negara dengan garis panduan yang diberikan," katanya.

Beliau mempertikaikan tindakan kerajaan yang sengaja melanjutkan larangan tersebut sedangkan negara maju lain telah membuat pembaharuan dan mengamalkan keterbukaan dalam hal ini.

"Kenapa negara maju lain seperti India dibenarkan malah terdapat parti politik di peringkat mahasiswa?" katanya yang juga bekas Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Manchester dan juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," ujarnya lagi.

Mahasiswa ujarnya berpeluang untuk belajar mentadbir serta membawa misi dan visi untuk rakyat menjadikan mereka matang dan mengasah diri sebagai pemimpin masa depan.

"Memang ada yang menyatakan penglibatan dengan hal ini hanya membazirkan masa tetapi tahukah kerajaan bahawa ia adalah suatu proses persediaan kepada mahasiswa untuk menyediakan diri selepas melangkah keluar daripada alam kampus?

"Kerajaan tidak perlu lagi membazirkan masa untuk melatih mereka dengan kemahiran tertentu bagi melaksanakan tugasan yang diberikan malah ia memudahkan lagi urusan kerana mereka telah terbiasa dengan prosedur yang diperlukan," tegasnya.

Sebahagian besar mahasiswa sekarang ujarnya sukar untuk memikirkan tentang persoalan semasa kerana hanya didedahkan kepada perkara yang bersifat umum dan tidak praktikal.

"Ini membuatkan mereka gagal untuk menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan serta tuntutan semasa. Hal ini diakui banyak syarikat yang melihat graduan kini dilihat kurang berpotensi untuk didedahkan dengan perkara semasa apatah lagi berkaitan keadaan negara," katanya.


Bagi bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM), Ahmad Lutfi Othman, larangan tersebut dibuat berdasarkan kepentingan politik sempit pemimpin Umno-BN

"Mahasiswa dilarang berpolitik bukan kerana ia boleh menganggu suasana pembelajaran di kampus tetapi dikira bakal menggugat kerajaan BN dalam pilihan raya akan datang. Segala keputusan kabinet hari ini lebih kepada usaha mempertahankan survival elit pemerintah," katanya.

Beliau menyifatkan keputusan membenarkan guru siswazah aktif berpolitik juga satu keputusan politik. "Sepatutnya masyarakat terpelajar seperti mahasiswa dan pensyarah juga dapat berpatisipasi secara langsung dalam proses pembangunan negara, bukannya dikongkong," tambah Lutfi yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah.


Beliau turut membidas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin yang mendakwa dengan membenarkan mahasiswa dan pensyarah aktif berpolitik boleh memberi kesan buruk kepada sistem pemarkahan akademik.

"Ia satu andaian yang jahat. Khaled sudah tidak lagi meyakini kewibawaan tenaga akademik kita. Ini satu penghinaan kepada pensyarah. Masakan hanya berbeda pandangan politik, pensyarah akan menganiaya pelajar mereka. Tidak masuk akal langsung," ujarnya.

Lutfi yang memuji pendirian positif Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin serta Ketua Pemuda MCA, Dato' Wee Ka Siong menunggu reaksi ketiga-tiga pemimpin muda berkenaan selepas kerajaan memutuskan untuk terus melarang warga kampus berpolitik.

"Hujah yang dikemukakan mereka yang mahu pindaan kepada Akta Universiti bagi membenarkan mahasiswa dan pensyarah berpolitik adalah bernas, rasional dan tepat. Malah pandangan Saifuddin adalah konsisten sejak beliau menerajui pertubuhan belia lagi.

"Kenapa mahasiswa di luar negara dibenarkan menubuhkan Kelab Umno Luar malah diberi ruang berucap di Perhimpunan Agung Umno," katanya.

Pada 30 Julai lalu, Pergerakan Pemuda UMNO berharap kerajaan turut memberi kebenaran kepada pensyarah dan juga mahasiswa untuk melibatkan diri dalam politik seperti mana yang diberi kepada guru.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.

Sudah tiba masa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda bagi membolehkan pelajar dan pensyarah melibatkan diri dengan politik, kata Khairy kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pergerakan itu.

Beliau yang menyambut baik keputusan membenarkan guru aktif di dalam politik juga bersetuju dengan syarat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar golongan itu tidak membawa fahaman politik ke dalam bilik darjah.

Selasa lepas, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengumumkan bermula 1 Ogos ini pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik.

sumber : http://www.detikdaily.net